JERAT INGIN CEPAT KAYA YANG PERLU KITA TAHU !!!

Keghairahan manusia untuk mencari jalan mudah mengaut keuntungan dan kekayaan mendorong kewujudan skim cepat kaya yang cukup popular di kalangan kelompok masyarakat tertentu. Skim yang dilihat 'sempurna' ini akhirnya menjerat diri pelabur tamak dan gagal melihat strategi licik dan tipu daya penganjur skim itu.

Skim cepat kaya ditakrifkan sebagai satu pelan pelaburan yang menawarkan kadar pulangan tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan kecil dan pada masa sama menjanjikan pelaburan berkenaan mudah dan bebas daripada sebarang risiko.
Pengguna lazimnya tertarik dengan pelan pelaburan dan testimoni mereka yang berjaya mengaut keuntungan berlipat ganda. Terdapat penganjur skim yang menggunakan penyata kewangan bank menunjukkan transaksi aliran deposit wang ke akaun pelabur.

Walaupun menggunakan taktik lapuk untuk mempengaruhi pengguna, malangnya ia masih mempengaruhi segelintir masyarakat yang terlalu cepat hendak kaya. Malah, ada di kalangan umat Islam yang tidak merujuk status pelaburan dari segi hukum akibat menyertai pelaburan skim cepat kaya yang jelas menimbulkan keraguan dari segi sumber dan perolehan keuntungan kepada pelabur.

Ingatlah kehidupan di bumi Allah ini memang memerlukan wang bagi meneruskan kehidupan, tetapi jangan sampai tersilap langkah hanya kerana sifat tamak hingga lupa kepada pengakhiran kehidupan kita kelak.
Bank Negara Malaysia sudah mengharamkan jenis serta aktiviti skim cepat kaya yang tertakluk mengikut undang-undang. Antaranya aktiviti pengambilan deposit secara haram.
Mengikut takrifan Bank Negara Malaysia, aktiviti pengambilan deposit secara haram adalah perbuatan menerima, mengambil atau bersetuju menerima deposit sama ada dalam bentuk wang atau logam berharga daripada orang awam atau pelabur dengan menjanjikan pembayaran semula deposit biasanya faedah, pulangan atau sebarang balasan berupa wang atau nilaian wang, tanpa mempunyai lesen yang sah.
Lesen sah terbabit tertakluk mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.
Saya sendiri sering menjadi rujukan kepada pengguna yang bertanya status pelaburan tertentu, namun secara peribadi saya menasihatkan mereka menjauhi pelaburan yang tidak berlandaskan syariah Islam dan tidak diketahui punca perolehan dan agihannya. Pelaburan berkaitan amat berisiko dan sering membuatkan pelaburnya termenung panjang kelak.

Ketika zaman persekolahan saya, masyarakat dikejutkan dengan skim Pak Man Telo. Dengan bermodalkan pelaburan pokok RM350, pelabur akan mendapat tujuh kali ganda bayaran dengan nilaian sama seperti pelaburan pokok iaitu RM350 x 7 = 2,450. Saya masih ingat lagi suasana pada masa itu semua orang memperkatakan kehebatan skim terbabit. Namun seperti pelaburan lain ia tidak bertahan lama dan ramai pelabur menggigit jari.
Urus niaga mata wang asing haram adalah antara skim cepat kaya yang dilarang mengikut peruntukan undang-undang Bank Negara. Aktiviti membeli atau menjual mata wang asing di antara dua individu boleh dikategorikan sebagai urus niaga mata wang haram.
Segala aktiviti pembelian dan penjualan mata wang asing di antara dua pihak perlu mendapat kebenaran daripada Pengawal Pertukaran Wang Asing mengikut Akta Pengawal Pertukaran Wang Asing 1953 (AKPW).

Membeli atau menjual mata wang asing oleh seorang pemastautin yang bukan seorang peniaga dengan seseorang di luar negara tanpa kebenaran mengikut peruntukan akta yang sama adalah aktiviti urus niaga mata wang asing haram.

Peruntukan undang-undang mensabitkan hukuman maksimum denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. Mahkamah juga boleh merampas mata wang atau benda yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Hukuman yang diperuntukkan untuk kesalahan pengambilan deposit secara haram adalah penjara tidak melebihi 10 tahun dan atau denda RM10 juta dan denda RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.

Masyarakat dinasihatkan berhati-hati dan menilai risiko serta hukum ketentuan Allah berhubung pulangan serta pembabitan diri dalam pelaburan yang tidak diiktiraf kerajaan dan menyalahi syariah.
Terdapat pelbagai pelaburan yang lebih selamat dan diiktiraf secara syariah. Fitrah manusia inginkan kemewahan dan kesenangan, tetapi kita harus mengambil kira pelbagai aspek sebelum terjerat dalam aktiviti skim cepat kaya.
Kita boleh mengesan pelaburan skim cepat kaya melalui pelbagai cara. Individu atau syarikat yang menganjurkan skim berkenaan yang membabitkan pengambilan deposit orang awam harus mempunyai lesen mengikut seksyen 6(4) Akta dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Justeru, pastikan penganjur menunjukkan lesen. Kemungkinan ketiadaan lesen jelas menunjukkan ia mungkin satu lagi skim yang perlu kita jauhi.
Penganjur skim lazimnya akan berjanji untuk membayar semula deposit dengan atau tanpa faedah dalam satu tempoh masa dalam bentuk wang atau nilaian wang.
Ini jelas menunjukkan ia adalah skim yang tidak diiktiraf dan boleh dikategorikan sebagai skim cepat kaya. Penganjur skim bijak berselindung untuk menipu orang awam dengan menggunakan taktik seperti menawarkan pulangan pemberian emas dan barang berharga. Masyarakat diyakinkan bahawa deposit terbabit adalah pinjaman kepada syarikat. Ramai terpedaya dengan penampilan kemas dan permainan helah serta tipu daya wakil penganjur skim cepat kaya. Jangan mudah terpedaya!

Skim urus niaga mata wang asing haram menggunakan pendekatan seperti menggunakan lepasan siswazah sebagai eksekutif pemasaran dan mempengaruhi mereka agar mengajak ahli keluarga menyertai skim pelaburan yang akhirnya menjerat ahli keluarga mereka.
Antara strategi lain seperti menyediakan akses dalam laman web untuk mengaburi pelabur dan menceritakan kehebatan syarikat induk yang berpangkalan di luar negara dan menggunakan akaun bank untuk pelabur mendeposit pelaburan mereka. Penggunaan akaun pihak ketiga oleh penganjur akan menyukarkan mangsa mendapatkan pengadilan kelak.
Masyarakat harus lebih bijak meneliti dan berwaspada terhadap pengaruh penganjur skim cepat kaya dan jangan terjebak kerana ia akan mendatangkan kemudaratan dan bertentangan dengan undang-undang dan tidak mempunyai pengiktirafan secara syariah.

Maklumat, aduan dan pertanyaan boleh diajukan kepada Unit Penyiasatan Khas Bank Negara Malaysia di talian 03-26987467 atau melalui e-mel bnmtelelink@ bnm.gov.my/upkinfo@ bnm. gov.my. Anda boleh menghubungi 03-21741515 atau 1-300-88-5465.

Hubungi saya SEKARANG dan dapatkan khidmat nasihat berkenaan perancangan kewangan & pelaburan yang betul (terutamanya dalam Unit Amanah Islam @ Islamic Unit Trust) secara PERCUMA sekarang!!! 017-385 3626 @ 019-393 5464 (En. Aju).
*** Ya! PERCUMA!!! Hanya untuk 10 orang terpantas sahaja...Kenapa yer???

0 comments: